ARKIB : 18/08/2008
PEMAIN Terengganu, Ismail
Faruqi (kiri) cuba diasak pemain Kedah, Shafizan Hashim pada saingan separuh
akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam.
KUALA TERENGGANU - Penyandang
juara, Kedah melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia walaupun tewas 2-0
kepada Terengganu pada separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal
Abidin, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, malam tadi.
Kedah mara menerusi agregat 3-2
selepas menang 3-0 dalam separuh akhir pertama di Stadium Alor Star, empat hari
lalu.
Kemenangan tersebut sekali gus
menemukan Kedah dengan Selangor dalam perlawanan akhir yang akan berlangsung di
Stadium Bukit Jalil, Ahad ini.
Selepas tumpas 3-0 di pada
pertemuan pertama, Terengganu cuba bangkit dengan bertindak garang sebaik wisel
perlawanan ditiupkan apabila mengasak pintu gol Kedah sejak awal saingan.
Tuan rumah berjaya membuka
jaringan seawal minit keenam menerusi Md. Ashaari Samsuddin.
Malah, Terengganu juga beroleh
beberapa sepakan sudut, yang diambil Zairo Anuar Zalani pada minit 15 dan 20
tetapi gagal disempurnakan.
Kurang seminit sebelum tamat
separuh masa pertama, Ashaari meletakkan Terengganu dalam keadaan selesa
apabila menambah gol kedua.
Pasukan Penyu juga menggandakan
asakan di babak kedua dan hampir memperoleh gol ketiga pada minit ke-89, tetapi
rembatan Ashaari sedikit tersasar ke kanan pintu gol lawan.
Kedah cuba bangkit dengan
melancarkan serangan balas menerusi Marlon Alex James, namun rembatan pemain
import Hijau Kuning itu diselamatkan penjaga gol Terengganu, Md. Sharbinee
Allawee.
Ahmad Fauzi Shaari juga cuba
mencari jaringan pada minit terakhir permainan, tetapi Sharbinee sekali lagi
menjadi wira menyelamatkan percubaan lawan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ztcuK3Ly
© Utusan Melayu (M) Bhd