ARKIB BOLA
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
PETALING JAYA - Pada ketika
perkembangan Aidil Zafuan Abd. Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha menceriakan
skuad kebangsaan, namun bek kanan, Mahalli Jasuli pula membawa berita buruk
apabila dihimpit kecederaan paha yang memaksanya berehat daripada menjalani
latihan selama dua hari.
Perkhabaran terbaharu itu cukup
meresahkan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menjelang kelayakan
Kumpulan D Piala Asia 2015 menentang Bahrain Selasa ini.
Menurut Rajagobal, Aidil dan
Norshahrul yang sebelum ini meresahkan skuad kebangsaan kerana kecederaan sudah
kembali menjalani latihan penuh di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),
tetapi Mahalli pula dihimpit kecederaan.
Kita nampak kedua-dua Aidil dan
Mat Yo (Norshahrul) telah berlatih dengan kita hari ini (semalam) tanpa
menunjukkan kecederaan serius, dalam fikiran saya walaupun mereka cedera tetapi
ia tidak mengganggu mereka berdua untuk kembali berlatih.
Ini adalah berita baik, namun
petang tadi saya dikhabarkan Mahalli pula cedera," katanya kepada media
sebelum sesi latihan semalam.
Jelasnya, Mahalli bukan mendapat
kecederaan pangkal paha tetapi sedikit ketegangan di bahagian tersebut yang
memaksa dia berehat selama dua hari termasuk semalam dan hari ini.
Fisioterapi dan doktor
menasihatkannya supaya berehat, jadi kita akan tengok perkembangannya esok.
Sekarang kecederaan demi
kecederaan melanda pemain terutama pertahanan," katanya lagi.
Mengikut perancangan awal
Rajagobal, jika Mahalli mengalami kecederaan pemain yang mampu mengisi posisi
tersebut adalah pertahanan Pahang, Razman Roslan bagaimanapun pemain itu cedera
dan sudah dibenarkan meninggalkan kem skuad kebangsaan.
Kita tidak jangka Razman
mengalami kecederaan kerana dia bermain dengan baik ketika menentang China
bulan lepas, namun saya masih berfikiran positif tentang perkembangan Mahalli
dan harap dia mampu diturunkan nanti.
Jika dia tidak sembuh, saya akan
fikir siapa yang sesuai. Kita perlu pertimbangkan perkara ini sebaik mungkin kerana
lawan kita adalah Bahrain," katanya.
Sementara itu, Mahalli yang hanya
menyaksikan rakan-rakannya berlatih dari tepi padang berkata, dia memang tidak
boleh berlatih langsung dan perlu berehat. Kedudukannya sama ada boleh
diturunkan atau tidak dalam pertemuan dengan Bahrain nanti akan diketahui hari
ini.
Saya tidak boleh beritahu tahap
kecederaan saya sekarang tetapi saya harap esok ia semakin pulih, jadi peluang
untuk saya bermain Selasa ini cerah.
Saya alami kecederaan ini ketika
dalam latihan semalam (kelmarin)," kata pemain berusia 24 tahun itu.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131013/su_07/Giliran-Mahalli-bawa-berita-buruk-buat-Rajagobal#ixzz2hZKhAmnD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan