HARIMAU Malaya tempang menjelang
aksi menentang Bahrain pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah
Alam, Selasa ini.
‘Kereta kebal’, Mahalli Jasuli
dilaporkan mengalami masalah kecederaan pangkal paha dan peluangnya untuk
beraksi pada perlawanan penting itu dilaporkan tipis.
Berita sedih itu disahkan oleh
jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal semalam.
Menurutnya, Mahalli mengalami
kecederaan tersebut ketika menjalani latihan bersama skuad negara kelmarin.
Situasi itu jelas mengundang
resah buat Rajagobal apabila beliau kini berdepan krisis kecederaan pemain
dalam usaha merencanakan skuad terbaik ketika berdepan Bahrain kelak.
“Hari ini (semalam), kita
mendapat satu berita yang kurang baik apabila Mahalli mengalami kecederaan pada
pangkal paha.
“Dia telah dinasihatkan oleh
pegawai perubatan supaya berehat dan kita akan melihat perkembangannya esok
(hari ini). Saya berharap dia cepat pulih,” katanya kepada pemberita ketika
ditemui di padang latihan Wisma FAM di Kelana Jaya semalam.
Tambah Rajagobal, beliau tetap
optimis bahawa pemain yang dijangka bakal menyarungkan jersi Johor Darul Takzim
itu pada musim depan, memiliki peluang cerah untuk diturunkan pada aksi
menentang Bahrain.
“Kita juga tidak jangka Razman
(Roslan) mendapat kecederaan. Ini kerana Razman bermain cukup baik ketika
menggalas posisi Mahalli ketika menentang China, baru-baru ini.
“Apa pun, saya masih optimis dan
positif bahawa Mahalli boleh diturunkan. Jika tidak, saya akan mencari pemain
yang sesuai untuk diturunkan di posisi tersebut,” katanya.
Sementara itu, Mahalli mengakui
dia terpaksa melupakan aksi penting ketika berdepan Bahrain jika kesakitan pada
pangkal pahanya berterusan hari ini.
“Saya tidak boleh berlatih.
Doktor suruh saya berehat. Esok (hari ini) kita akan tahu sama ada saya boleh
beraksi atau tidak.
“Saya berharap kecederaan ini
akan pulih kerana peluang untuk saya bermain itu cerah. Jika masih sakit, saya
terpaksa lupakan aksi menentang Bahrain nanti,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/13.10.13
Tiada ulasan:
Catat Ulasan