Sabtu, 10 Jun 2017

Norizam hero baru Terengganu



ARKIB : 17/01/2006

Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
PENYERANG Terengganu, Norizam Ali Hassan (dua dari kiri) melepaskan rembatan meskipun cuba dihalang oleh jentera pertahanan Perak UPBFC dalam aksi bola sepak Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin. - Gambar Mahathir Ali.


KUALA TERENGGANU - Ketajaman jentera serangan terutama peningkatan mendadak penyerang lincah, Norizam Ali Hassan menjadi sandaran buat skuad bola sepak Terengganu mengharungi pusingan kedua Liga Perdana minggu depan.

Pemain itu jelas menjadi `duri dalam daging' buat pasukan lawan dalam Kumpulan A hasil prestasi cemerlang yang ditunjukkan pada beberapa perlawanan lalu.

Norizam setakat ini mengumpul empat gol untuk muncul penjaring terbanyak skuad Pantai Timur itu dan ia menyuntik semangat pemain tersebut yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan musim lalu akibat dihantui kecederaan.

Malah, dalam perlawanan menentang Perak UPB kelmarin, dia menjadi penjaring gol pertama untuk membantu Terengganu menang 2-0 hasil satu percubaan menarik yang menewaskan penjaga gol Azhar Ahmad.

Peningkatan pemain berkenaan, menggembirakan jurulatih Yunus Aliff, yang mengakui persembahan pemain itu berjaya mengatasi masalah kemarau gol yang dialami pasukan itu dalam beberapa perlawanan awal.

Menurutnya, selain melaksanakan tugas mengempur kubu lawan, Norizam juga berupaya melakukan gerakan dan membuka ruang untuk pemain lain terutama rakan seposisinya, Sharlei Lins Miranda. ``Permainannya agresif dan dia menunjukkan kesungguhan untuk memburu gol. Saya harap dia dapat mengekalkan semangat ini dalam perlawanan akan datang terutama apabila memasuki pusingan kedua nanti,'' katanya.

Kemenangan ke atas Perak UPBD adalah kemenangan ketiga berturut-turut skuad Terengganu selepas tujuh perlawanan untuk berada di tangga ketiga kumpulan itu di belakang pendahulu, Sarawak dan Kedah.

Terengganu bakal menanti kunjungan pasukan Brunei DPMM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 22 Januari ini. Bagaimanapun, di tengah-tengah peningkatan pemain lain, bintang tengah skuad itu, Zairo Anuar Zalani pula berdepan situasi berbeza apabila gagal menunjukkan corak permainan meyakinkan.

Pemain skuad bawah 21 Tahun kebangsaan itu, seakan `tenggelam' dalam perlawanan kelmarin walaupun membuat beberapa percubaaan menarik ke pintu gol lawan.Malah Yunus, terpaksa mengeluarkan pemain itu pada penghujung permainan untuk digantikan oleh Md. Ashaari Shamsuddin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jbdBv6E3
© Utusan Melayu (M) Bhd