ARKIB : 17/01/2006
Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
PENYERANG Terengganu, Norizam
Ali Hassan (dua dari kiri) melepaskan rembatan meskipun cuba dihalang oleh
jentera pertahanan Perak UPBFC dalam aksi bola sepak Liga Perdana di Stadium
Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin. - Gambar Mahathir
Ali.
KUALA TERENGGANU - Ketajaman
jentera serangan terutama peningkatan mendadak penyerang lincah, Norizam Ali
Hassan menjadi sandaran buat skuad bola sepak Terengganu mengharungi pusingan
kedua Liga Perdana minggu depan.
Pemain itu jelas menjadi `duri
dalam daging' buat pasukan lawan dalam Kumpulan A hasil prestasi cemerlang yang
ditunjukkan pada beberapa perlawanan lalu.
Norizam setakat ini mengumpul
empat gol untuk muncul penjaring terbanyak skuad Pantai Timur itu dan ia
menyuntik semangat pemain tersebut yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan
musim lalu akibat dihantui kecederaan.
Malah, dalam perlawanan
menentang Perak UPB kelmarin, dia menjadi penjaring gol pertama untuk membantu
Terengganu menang 2-0 hasil satu percubaan menarik yang menewaskan penjaga gol
Azhar Ahmad.
Peningkatan pemain berkenaan,
menggembirakan jurulatih Yunus Aliff, yang mengakui persembahan pemain itu
berjaya mengatasi masalah kemarau gol yang dialami pasukan itu dalam beberapa
perlawanan awal.
Menurutnya, selain melaksanakan
tugas mengempur kubu lawan, Norizam juga berupaya melakukan gerakan dan membuka
ruang untuk pemain lain terutama rakan seposisinya, Sharlei Lins Miranda.
``Permainannya agresif dan dia menunjukkan kesungguhan untuk memburu gol. Saya
harap dia dapat mengekalkan semangat ini dalam perlawanan akan datang terutama
apabila memasuki pusingan kedua nanti,'' katanya.
Kemenangan ke atas Perak UPBD
adalah kemenangan ketiga berturut-turut skuad Terengganu selepas tujuh
perlawanan untuk berada di tangga ketiga kumpulan itu di belakang pendahulu,
Sarawak dan Kedah.
Terengganu bakal menanti
kunjungan pasukan Brunei DPMM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 22
Januari ini. Bagaimanapun, di tengah-tengah peningkatan pemain lain, bintang
tengah skuad itu, Zairo Anuar Zalani pula berdepan situasi berbeza apabila
gagal menunjukkan corak permainan meyakinkan.
Pemain skuad bawah 21 Tahun
kebangsaan itu, seakan `tenggelam' dalam perlawanan kelmarin walaupun membuat
beberapa percubaaan menarik ke pintu gol lawan.Malah Yunus, terpaksa
mengeluarkan pemain itu pada penghujung permainan untuk digantikan oleh Md.
Ashaari Shamsuddin.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jbdBv6E3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan