ARKIB : 18/09/2008
KUALA LUMPUR - Skuad negara
mengorak langkah sulung yang meyakinkan dalam perlawanan pertama siri
persahabatan bola sepak di Slovakia, kelmarin dengan diikat 2-2 oleh kelab Liga
Perdana tuan rumah, Rimavska Sabota.
Malah, ketua pasukan negara,
Shukor Adan bagaikan tidak terjejas dengan penggugurannya oleh Selangor, menanduk
masuk gol pertama hasil sepakan sudut sayap kanan, Amirulhadi Zainal pada minit
ketiga perlawanan di Stadium Rimavska.
Sekali pun dirapati tuan rumah
menerusi jaringan Cizar Martin pada minit ke-38, Malaysia kembali di depan
kira-kira tiga minit babak kedua bersambung apabila sayap kirinya, Ashaari
Shamsuddin menyudahkan sepakan sudut Zairo Anuar Zailani.
Malangnya, sepakan bebas
Zivanovic Nenad yang berasal dari Serbia menembusi gawang kawalan Syed Adney
Syed Hussein untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-60 lantas
menghampakan skuad bimbingan B. Sathianathan ini.
Malaysia turut beroleh satu
peluang keemasan pada penyerang utamanya, Safee Sali yang hanya berdepan satu
sama satu tetapi sepakannya di padang yang agak licin sempat ditepis keluar oleh
penjaga gol kelab bahagian dua negara Eropah Timur itu.
Sathianathan dalam kiriman
e-melnya berkata: ''Penguasaan bola kita bagus pada babak pertama sehingga
beberapa peluang dicipta dan diuji ke gawang lawan. Gandingan tiga penyerang,
Safee dan diapit oleh Zaquan Adha Radzak serta Nizaruddin Yusof bergerak baik
tetapi benteng lawan bertahan kukuh.
"Babak kedua, saya
mengubah kesebelasan utama tetapi mereka tetap bermain sebagai satu unit dan
padat khususnya Ashaari yang kerap mencipta peluang serangan. Saya gembira
dengan persembahan pasukan walaupun mereka tidak mencapai tahap kecergasan
penuh.''
Menurut Sathianathan, aksi
persahabatan kedua anak buahnya dijangka bertambah getir apabila diuji oleh
sebuah kelab bahagian satu Liga Super Slovakia, Slovan Bratislava di Stadium
Vion, hari ini. Tiga kelab lagi yang menanti ialah Lucenec FC, MFK Ruzeomberok
dan FC Nitra.
Malaysia membuka kem latihan di
Slovakia sebagai persediaan menghadapi Pestabola Merdeka Ke-40 dari 15 hingga
25 Oktober ini selain Piala Cabaran Grand Royal Myanmar (November) dan Piala
Suzuki AFF di Thailand dari 5 hingga 28 Disember ini
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50Rm0F1KW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan