MyMetroArena

Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my
BEKAS pemain
kebangsaan, Mohd Faizal Muhamad sedih terpaksa menggantung but lebih awal
selepas doktor mengesahkan mata kanannya mengalami kecacatan kekal dan kabur
akibat kemalangan jalan raya.
Pemain
pertahanan tengah Melaka United yang kontraknya berakhir dengan pasukan itu
pada hujung bulan ini menerima khabar itu dengan tenang biarpun tidak lagi
bergelar pemain bola sepak selepas ini.
“Saya terpaksa
gantung but lebih awal ketika rakan-rakan seperjuangan masih beraksi dalam
saingan Liga Malaysia (Liga M) yang saya lihat kian rancak.
“Impian mahu
mengakhiri karier pada usia 35 tahun namun apakan daya pada 21 Oktober lalu
pakar mata mengesahkan mata kanan mengalami kecacatan kekal kerana kabur sekali
gus terpaksa melupakan sukan yang saya minati sejak di bangku sekolah rendah
lagi,” ujar Faizal.
Faizal, 30,
cedera serius bahagian mata dan kaki kiri akibat terbabit dalam kemalangan di
Kilometer 250.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Jabor, Kemaman pada pagi
26 Mei lalu.
Ketika itu dia
dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Sentul Patah selepas berakhir
perlawanan dengan Perak di Stadium Perak, Ipoh yang berkesudahan pasukannya
menang 3-2.
Kemalangan
kira-kira jam 9.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila kenderaan pelbagai guna
(MPV) Toyota Vellfire dipandu Faizal didapati hilang kawalan lalu merempuh
bahagian belakang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV.
Faizal
dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan sebelum menjalani
pembedahan.
Faizal yang
pernah menyarung jersi skuad Harimau Muda A, pasukan senior kebangsaan,
Terengganu, PDRM dan T-Team mengakui sayang untuk `berpisah’ dengan sukan
diminatinya itu.
“Begitu sayang
kerana terpaksa bersara bukan disebabkan faktor umur kerana kudrat masih ada
selain saya percaya masih ada pasukan yang menginginkan khidmat saya.
“Jika
diizinkan Allah suatu hari nanti andai mata pulih seperti sedia kala, saya
mungkin kembali atau menjadi jurulatih” kata Faizal pernah membantu skuad
negara menjulang Piala AFF 2010 menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 4:09 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan