Rabu, 15 Januari 2020 | 6:24pm

PEMAIN Terengganu FC, Mohd Ashari
Samsudin. NSTP/Roslin Mat Tahir.
Penyokong rayu Saha kembali ke
pangkuan TFC
Oleh Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my
KUALA TERENGGANU: Kelab Penyokong
Bolasepak Terengganu (PETEH) dan Kelab Penyokong Terengganu FC, menuntut penyerang
Terengganu FC (TFC), musim lalu, Ashari Samsudin memikirkan semula hasratnya
untuk bersara dalam arena bola sepak negeri.
Kelab berkenaan mengharapkan
bekas pemenang Kasut Emas 2010 itu terus menyarung jersi skuad Penyu itu untuk
sekurang-kurangnya dua musim lagi terutama bagi membantu pasukan dan juga
pemain muda dalam skuad itu.
Menurut 'orang kuat' dua kelab
itu, bekas pemain kebangsaan berusia 35 tahun itu yang lebih mesra dipanggil
Saha masih lagi berbisa untuk memburu jaringan selain berpengalaman luas dalam
arena bola sepak negeri dan kebangsaan.
"Jika pemain itu meneruskan
niat untuk bersara dalam arena bola sepak, saya lihat ia satu kerugian buat
pasukan Terengganu khususnya, kerana pemain itu masih lagi berbisa di padang.
"Selain itu saya lihat
pemain itu begitu disiplin sama ada di padang ataupun luar padang selain bakat
yang ada, ia sebenarnya umpama serampang dua mata buat pasukan khususnya kepada
pemain muda untuk mengikut jejaknya sebagai pemain berkaliber.
"Justeru saya harap pemain
itu dan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) duduk bincang semula
selain mengharapkan Ashari mempertimbangkan semula hasratnya untuk bersara
kerana khidmatnya masih diperlukan pasukan," ujar Presiden PETEH, Datuk Dr
Najmil Faiz Mohamad Aris.
Pandangan sama turut disuarakan
Presiden Kelab Penyokong TFC, Mohd Isa Che Ariffin yang menuntut pemain itu
kembali menyertai latihan TFC dan jika ada masalah, ia perlu dibincang dan
diselesaikan sebaik mungkin kedua-dua belah pihak.
"Saha masih lagi berbisa,
dia seorang pemain yang berpengalaman luas dalam bola sepak, adakalanya
pengalamannya sangat diperlukan ketika situasi-situasi tertentu sebagai seorang
senior dalam padang.
"Pemain yang digelar 'The
Silent Killer' itu juga sebenarnya idola kepada pemain-pemain muda yang ingin
menimba ilmu dalam bidang bola sepak selain berguru dengan jurulatih.
"Saya harap Saha
mempertimbang semula hasratnya untuk bersara dengan menerima tawaran daripada
PBSNT dan kembali menjalani latihan bersama kem TFC demi kemajuan pasukan dan
peningkatan pemain baharu dalam pasukan itu yang dahagakan tunjuk ajarnya.
"Jika ada sebarang
permasalahan antara kedua-dua belah pihak, ia perlu diselesaikan dengan mencari
jalan yang terbaik," ujar Isa.
Akhbar ini semalam melaporkan
Ashari yang pernah membantu pasukan negara menjulang Piala Suzuki AFF pada 2010
selain meraih Piala FA 2011 bersama Terengganu, masih belum menjawab surat
tawaran daripada PBSNT untuk menyarung jersi pasukan kendalian Nafuzi Zain itu.
Berikutan itu, ia mengundang
persoalan buat kem TFC dan juga peminat setia skuad itu sama ada Ashari
benar-benar mahu mengantung but ataupun mempunyai masalah dalaman dengan PBSNT.[1]
[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/01/647043/penyokong-rayu-saha-kembali-ke-pangkuan-tfc
Tiada ulasan:
Catat Ulasan