Jumaat, 8 November 2019

Giliran Mahalli bawa berita buruk buat Rajagobal


ARKIB BOLA
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
PETALING JAYA - Pada ketika perkembangan Aidil Zafuan Abd. Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha menceriakan skuad kebangsaan, namun bek kanan, Mahalli Jasuli pula membawa berita buruk apabila dihimpit kecederaan paha yang memaksanya berehat daripada menjalani latihan selama dua hari.

Perkhabaran terbaharu itu cukup meresahkan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menjelang kelayakan Kumpulan D Piala Asia 2015 menentang Bahrain Selasa ini.

Menurut Rajagobal, Aidil dan Norshahrul yang sebelum ini meresahkan skuad kebangsaan kerana kecederaan sudah kembali menjalani latihan penuh di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), tetapi Mahalli pula dihimpit kecederaan.

“Kita nampak kedua-dua Aidil dan Mat Yo (Norshahrul) telah berlatih dengan kita hari ini (semalam) tanpa menunjukkan kecederaan serius, dalam fikiran saya walaupun mereka cedera tetapi ia tidak mengganggu mereka berdua untuk kembali berlatih.

“Ini adalah berita baik, namun petang tadi saya dikhabarkan Mahalli pula cedera," katanya kepada media sebelum sesi latihan semalam.

Jelasnya, Mahalli bukan mendapat kecederaan pangkal paha tetapi sedikit ketegangan di bahagian tersebut yang memaksa dia berehat selama dua hari termasuk semalam dan hari ini.

“Fisioterapi dan doktor menasihatkannya supaya berehat, jadi kita akan tengok perkembangannya esok.

“Sekarang kecederaan demi kecederaan melanda pemain terutama pertahanan," katanya lagi.

Mengikut perancangan awal Rajagobal, jika Mahalli mengalami kecederaan pemain yang mampu mengisi posisi tersebut adalah pertahanan Pahang, Razman Roslan bagaimanapun pemain itu cedera dan sudah dibenarkan meninggalkan kem skuad kebangsaan.

“Kita tidak jangka Razman mengalami kecederaan kerana dia bermain dengan baik ketika menentang China bulan lepas, namun saya masih berfikiran positif tentang perkembangan Mahalli dan harap dia mampu diturunkan nanti.

“Jika dia tidak sembuh, saya akan fikir siapa yang sesuai. Kita perlu pertimbangkan perkara ini sebaik mungkin kerana lawan kita adalah Bahrain," katanya.

Sementara itu, Mahalli yang hanya menyaksikan rakan-rakannya berlatih dari tepi padang berkata, dia memang tidak boleh berlatih langsung dan perlu berehat. Kedudukannya sama ada boleh diturunkan atau tidak dalam pertemuan dengan Bahrain nanti akan diketahui hari ini.

“Saya tidak boleh beritahu tahap kecederaan saya sekarang tetapi saya harap esok ia semakin pulih, jadi peluang untuk saya bermain Selasa ini cerah.

“Saya alami kecederaan ini ketika dalam latihan semalam (kelmarin)," kata pemain berusia 24 tahun itu.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131013/su_07/Giliran-Mahalli-bawa-berita-buruk-buat-Rajagobal#ixzz2hZKhAmnD
© Utusan Melayu (M) Bhd


Khamis, 7 November 2019

Faizal gantung but kerana mata


MyMetroArena
 
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my
BEKAS pemain kebangsaan, Mohd Faizal Muhamad sedih terpaksa menggantung but lebih awal selepas doktor mengesahkan mata kanannya mengalami kecacatan kekal dan kabur akibat kemalangan jalan raya.
             
Pemain pertahanan tengah Melaka United yang kontraknya berakhir dengan pasukan itu pada hujung bulan ini menerima khabar itu dengan tenang biarpun tidak lagi bergelar pemain bola sepak selepas ini.

“Saya terpaksa gantung but lebih awal ketika rakan-rakan seperjuangan masih beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) yang saya lihat kian rancak.

“Impian mahu mengakhiri karier pada usia 35 tahun namun apakan daya pada 21 Oktober lalu pakar mata mengesahkan mata kanan mengalami kecacatan kekal kerana kabur sekali gus terpaksa melupakan sukan yang saya minati sejak di bangku sekolah rendah lagi,” ujar Faizal.

Faizal, 30, cedera serius bahagian mata dan kaki kiri akibat terbabit dalam kemalangan di Kilometer 250.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Jabor, Kemaman pada pagi 26 Mei lalu.

Ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Sentul Patah selepas berakhir perlawanan dengan Perak di Stadium Perak, Ipoh yang berkesudahan pasukannya menang 3-2.

Kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dipandu Faizal didapati hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV.

Faizal dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan sebelum menjalani pembedahan.

Faizal yang pernah menyarung jersi skuad Harimau Muda A, pasukan senior kebangsaan, Terengganu, PDRM dan T-Team mengakui sayang untuk `berpisah’ dengan sukan diminatinya itu.

“Begitu sayang kerana terpaksa bersara bukan disebabkan faktor umur kerana kudrat masih ada selain saya percaya masih ada pasukan yang menginginkan khidmat saya.

“Jika diizinkan Allah suatu hari nanti andai mata pulih seperti sedia kala, saya mungkin kembali atau menjadi jurulatih” kata Faizal pernah membantu skuad negara menjulang Piala AFF 2010 menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 4:09 PM

Sabtu, 26 Oktober 2019

Jaga fokus beraksi di Shah Alam'

MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my

JOHOR BAHRU: Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias mengaku bakal berdepan cabaran lebih getir apabila menentang Selangor pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.

Dia menuntut rakan sepasukan untuk lebih berhati-hati sepanjang 90 minit perlawanan dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah yang boleh menyulitkan impian Harimau Selatan untuk mara ke final.

Katanya, walaupun menang 2-1 ke atas Red Giants pada separuh akhir pertama di Stadium Larkin, Sabtu lalu, bekalan yang di bawa ke Shah Alam tampak tipis dan skuad kendalian B Sathianathan mampu bangkit jika diberi ruang.

“Tetap mencabar, lebih-lebih lagi kami akan beraksi di gelanggang mereka, namun peluang tetap ada dan kami perlu memperkemaskan lagi apa saja kelemahan ketika aksi separuh akhir pertama malah sepanjang latihan sebelum menentang Selangor, perancangan taktikal yang ampuh sudah dibuat.

“Pemain juga lebih bersedia untuk berdepan Selangor. Kita tahu mereka akan datang menyerang habis-habisan untuk memburu kemenangan dan saya harap rakan sepasukan dapat memberi sepenuh fokus. Tambahnya, kerjasama antara benteng pertahanan akan menguatkan lagi posisi itu dan persefahaman yang jitu sememangnya akan menjadi faktor kemenangan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 5:30 AM

Jumaat, 25 Oktober 2019

'Ada misi untuk dilunaskan'

WARTAWAN SINAR HARIAN | | 24 Oktober 2019
 
Khyril Muhymeen
PENYERANG Selangor, Khyril Muhymeen mengakui dia memiliki misi peribadi menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.


Tanpa berselindung, Khyril mendedahkan dia berhajat untuk bertemu dengan bekas pasukannya, Kedah di pentas final Piala Malaysia tahun ini.

Jelasnya, pertemuan menentang Kedah akan menjadi motivasi tambahan buat pemain yang berasal dari Alor Setar itu selepas kali terakhir dia menjulang trofi Piala Malaysia pada 2008 bersama Kedah.


Bagaimanapun, Khyril lebih berminat untuk memberikan fokus terlebih dahulu kepada pertemuan menentang JDT selepas pasukan bimbingan B Sathianathan tewas 1-2 pada separuh akhir pertama di Larkin dalam misi memastikan Selangor layak ke pentas final.

“Kalau jumpa Kedah di final, saya rasa lagi tentu semangat kerana akan berdepan pasukan lama, malah kebetulan final 2008 itu, Kedah menentang Selangor.

“Harapan saya benda ini dapat berlaku dan dapat bangkitkan nostalgia apa yang berlaku lebih pada 10 tahun dahulu, kepada Kedah, selamat maju saya ucapkan pada separuh akhir kedua nanti.

“Kepada rakan-rakan sepasukan, saya harap kita mampu sama-sama buat yang terbaik nanti di Shah Alam serta mengharapkan penyokong Selangor boleh datang beramai-ramai untuk buatkan lagi bersemangat tinggi untuk mara ke final, ” katanya.

Untuk menjadikan impian ini satu kenyataan, Selangor berdepan laluan berliku untuk menyingkirkan juara Liga Super JDT manakala Kedah akan membuat perhitungan dengan Pahang dalam satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Darul Makmur, Kuantan selepas terikat 3-3 di Alor Setar.


Khyril mahu memberikan fokus kepada pertemuan menentang JDT terlebih dahulu dalam misi memastikan Selangor layak ke pentas final.
Sebagai rekod, Khyril menyarung jersi Kedah selama 10 tahun apabila mula mendapat tempat dalam skuad utama pada usia 18 tahun dan pernah dua kali memenangi trofi Piala Malaysia iaitu pada tahun 2007 dan 2008.

Pada 2008, Kedah muncul juara selepas menewaskan Selangor 3-2 dalam aksi penuh dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan Khyril beraksi dalam kesebelasan utama.

Mengulas mengenai pertemuan dengan JDT, Khyril berazam mahu menjelmakan sekali prestasi cemerlang seperti mana pernah dilakukan di suku akhir kedua ketika membenam cabaran Perak di Shah Alam selepas tewas 0-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Dalam perlawanan itu yang memperlihatkan Selangor menang 3-1, Khyril meledak dua gol bagi membantu skuad kendalian B Sathianathan itu mara menerusi agregat 3-2.

Melihat situasi yang hampir serupa pada kali ini, Khyril optimis aura di Stadium Shah Alam akan menjadi bekalan terbaik kepada skuad Red Giants untuk melangkah keluar selaku pemenang.

“Apa yang berlaku kepada kami di suku akhir, mengingatkan kami kembali sebaik tewas di Larkin minggu lalu dan saya boleh katakan kami begitu hormati pihak lawan, sama seperti ketika di Ipoh.

“Di Shah Alam, kami akan lebih agresif, fokus dan mentaliti kami dijangka lebih kuat dalam mendapatkan kemenangan untuk atasi defisit yang dimiliki pihak lawan," katanya.

Pada separuh akhir pertama, JDT menang 2-1 melalui jaringan Syafiq Ahmad dan Leandro Velazquez sementara gol tunggal Selangor disumbangkan Ifedayo Olusegun.



SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/53876/BERITA/Sukan/Ada-misi-untuk-dilunaskan
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Separuh Akhir Piala FA- Perlawanan 2 Jun 14, 2008 (Sabtu)

Terengganu
Md Ashaari Shamsuddin (69')
1-1 (agg 2-3)
Selangor
R. Surendran (48')
Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, KT

Suku Akhir - Perlawanan 2 April 22, 2008 (Selasa)

Felda United FC, Kuala Lumpur
Jophat Nkhoma (39')
3-1 (agg 2-4)

Terengganu
Md Ashaari Shamsuddin (32')
Std Bolasepak, Kuala Lumpur

Separuh Akhir - Perlawanan 1 Jun 14, 2008 (Sabtu)

Selangor
Muhammad Shukur Adan (68'), Mohd Safee Sali (88')
2-1
Terengganu
Md Ashari Shamsuddin (25')
Std Shah Alam