Sabtu, 10 Jun 2017

Norizam hero baru Terengganu



ARKIB : 17/01/2006

Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
PENYERANG Terengganu, Norizam Ali Hassan (dua dari kiri) melepaskan rembatan meskipun cuba dihalang oleh jentera pertahanan Perak UPBFC dalam aksi bola sepak Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin. - Gambar Mahathir Ali.


KUALA TERENGGANU - Ketajaman jentera serangan terutama peningkatan mendadak penyerang lincah, Norizam Ali Hassan menjadi sandaran buat skuad bola sepak Terengganu mengharungi pusingan kedua Liga Perdana minggu depan.

Pemain itu jelas menjadi `duri dalam daging' buat pasukan lawan dalam Kumpulan A hasil prestasi cemerlang yang ditunjukkan pada beberapa perlawanan lalu.

Norizam setakat ini mengumpul empat gol untuk muncul penjaring terbanyak skuad Pantai Timur itu dan ia menyuntik semangat pemain tersebut yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan musim lalu akibat dihantui kecederaan.

Malah, dalam perlawanan menentang Perak UPB kelmarin, dia menjadi penjaring gol pertama untuk membantu Terengganu menang 2-0 hasil satu percubaan menarik yang menewaskan penjaga gol Azhar Ahmad.

Peningkatan pemain berkenaan, menggembirakan jurulatih Yunus Aliff, yang mengakui persembahan pemain itu berjaya mengatasi masalah kemarau gol yang dialami pasukan itu dalam beberapa perlawanan awal.

Menurutnya, selain melaksanakan tugas mengempur kubu lawan, Norizam juga berupaya melakukan gerakan dan membuka ruang untuk pemain lain terutama rakan seposisinya, Sharlei Lins Miranda. ``Permainannya agresif dan dia menunjukkan kesungguhan untuk memburu gol. Saya harap dia dapat mengekalkan semangat ini dalam perlawanan akan datang terutama apabila memasuki pusingan kedua nanti,'' katanya.

Kemenangan ke atas Perak UPBD adalah kemenangan ketiga berturut-turut skuad Terengganu selepas tujuh perlawanan untuk berada di tangga ketiga kumpulan itu di belakang pendahulu, Sarawak dan Kedah.

Terengganu bakal menanti kunjungan pasukan Brunei DPMM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 22 Januari ini. Bagaimanapun, di tengah-tengah peningkatan pemain lain, bintang tengah skuad itu, Zairo Anuar Zalani pula berdepan situasi berbeza apabila gagal menunjukkan corak permainan meyakinkan.

Pemain skuad bawah 21 Tahun kebangsaan itu, seakan `tenggelam' dalam perlawanan kelmarin walaupun membuat beberapa percubaaan menarik ke pintu gol lawan.Malah Yunus, terpaksa mengeluarkan pemain itu pada penghujung permainan untuk digantikan oleh Md. Ashaari Shamsuddin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jbdBv6E3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 2 Mac 2017

Ashari Samsudin pamer watak pemusnah

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
 
ASHARI (belakang) dan Alves masing-masing menjaringkan satu gol ketika membantu Pahang menewaskan PKNS di Kuantan kelmarin.

KETUA jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui gembira menyaksikan pemain te­ngah, Mohamad Ashari Samsudin kembali mempamerkan prestasi terbaik selepas bekas pemenang Anugerah Kasut Emas 2010 itu mencetak gol ketiga ketika membantu skuad Tok Gajah menumpaskan PKNS FC 3-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.

Menurut Dollah, bekas tonggak Terengganu itu sebelum ini dilihat bergelut memulihkan prestasi sejak menyarung jersi Pahang pada awal saingan Liga Super 2017, namun kebangkitan yang dipamerkan Ashari ketika menewaskan PKNS kelmarin ternyata membuktikan pemain itu masih layak digelar The Silent Killer.

“Penjaga gol, Azraie (Wan Muhamad Azraie Wan Teh) banyak memainkan peranan untuk menyelamatkan keadaan ketika diasak serangan PKNS pada separuh masa pertama.

“Pada separuh masa kedua, Pahang berjaya menguasai keseluruhan permainan yang merupakan hasil daripada aksi konsisten dipamerkan semua pemain.

“Saya lihat Ashari juga sudah kembali mendapat rentak terbaik pada perlawanan malam ini (kelmarin), begitu juga dengan Joseph Kallang Tie yang sebelum ini gagal mempamerkan gaya permainan se­perti diharapkan,” ujar Dollah ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.

Pada saingan itu, Ashari melengkapkan gol ketiga selepas menerima hantaran daripada pemain sayap kiri, Ahmad Syamim Yahya ketika perlawanan memasuki minit ke-70.

Terdahulu, Pahang meraih gol pertama pada minit ke-12 yang di­sudahkan pemain pertahanan, Mohd. Afif Kamarudin dan disusuli jaringan kedua disempurnakan Matheus Alves Leandro menerusi sepakan penalti (m-58) sejurus Mohamadou Sumareh dikasari di hadapan gawang PKNS.

Mengulas lanjut, Dollah menambah, Ashari yang pernah menjulang Piala AFF Suzuki 2010 bersama skuad kendalian bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan juga diyakini mampu memberi lebih ba­nyak impak buat Pahang menjelang saingan seterusnya.

“Kalau ditetapkan (kon­­sisten) dengan prestasi seperti itu, saya yakin akan ada lebih banyak peluang menjaringkan gol yang boleh dicipta (Ashari) pada perlawanan seterusnya.

“Dengan kelebihan dimiliki Pahang menerusi Sumareh dan Alves, saya yakin para pemain (termasuk Ashari) mampu terus memastikan Pahang mendapat tiga mata pada setiap perlawanan,” kata Dollah.

Sebagai rekod, Ashari mencetak pencapaian terbaik pada 2011 apabila berjaya membantu Terengganu menjulang Piala FA serta meraih gelaran naib juara bagi kempen Liga Super dan Piala Malaysia

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0302&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4aAOxntu8 Hakcipta terpelihara